Di kesempatan berada pada hari
Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat
sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT
dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan
segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan kita memperolehi
keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “TANGGUNGJAWAB SOSIAL SATU
TUNTUTAN ”
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Manusia adalah makhluk yang
‘Mujtamak’ ataupun insan bermasyarakat.Tanpa sokongan dan kerjasama
manusia tidak akan dapat mencipta budaya dan tamadun. Dalam Islam konsep
bermasyarakat adalah murni dan luas melangkawi agama, bangsa, warna kulit dan
budaya. Hal ini di nyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat
13:
Maksudnya : “ Wahai
umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya
kamu saling berkenalan.”.
Berdasarkan ayat tersebut, dapat
difahami bahawa manusia diciptakan untuk saling kenal- mengenali dan
saling berkerjasama antara satu sama lain serta bantu-membantu demi membina
kehidupan yang sejahtera dengan di dokong iman dan takwa kepada Allah SWT.
Dalam menghayati kehidupan bermasyarakat Islam amat menitik beratkan konsep
tanggungjawab sosial, iaitu mengambil berat sesama manusia sebagaimana hadith
Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Sesiapa yang
tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari
kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain
daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai
Allah”(Riwayat at-Tabarani).
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Islam adalah agama persaudaraan.
Ciri-ciri persaudaraan terkandung dalam nilai-nilai unggul seperti berbuat
baik, berkasih sayang, hormat menghormati, tolong menolong, amanah, jujur,
bertimbang rasa dan sebagainya. Jesteru nilai-nilai murni ini menjadi tunjang
di dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, tuntutan berbuat baik atau
melakukan kebajikan tidak terbatas kepada ibu bapa, adik beradik, ahli keluarga
atau orang-orang yang ada pertalian darah dengan kita sahaja. Bahkan kita
dituntut berbuat baik atau melakukan kebajikan kepada kawan-kawan, jiran
tetangga bahkan kepada orang-orang yang kita tidak kenali termasuk juga terhadap
haiwan dan makhluk-makhluk yang lain.
Lumrah kehidupan bahawa ada manusia
yang hidupnya mewah dan kaya raya serta ada yang miskin melarat. Justeru syarak
mewajibkan golongan yang berada mestilah membela golongan yang miskin dan
lemah. Saban hari media massa memaparkan kisah penderitaan masyarakat, ada di
kalangan mereka yang terlantar sakit, fakir dan miskin, ada yang dilanda
pelbagai musibah bencana dan wabak penyakit. Mereka ini sebenarnya memerlukan
bantuan dan pertolongan daripada kita. Kita boleh membantu mereka samada dengan
wang ringgit atau sokongan moral. Ketahuilah bahawa ada dikalangan mereka
memerlukan bantuan organ-organ untuk meneruskan kehidupan. Menurut laporan
Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan
organ semakin meningkat di negara kita dan ia merupakan salah satu kaedah
rawatan yang telah diterima ramai.
Bersempena dengan kempen pendermaan
organ yang sedang giat dilaksanakan, mimbar menyeru kepada semua pihak marilah
sama-sama kita menyahut seruan kempen ini dengan mendaftar diri sebagai
penderma. Pendermaan organ adalah sebahagian amalan sedekah jariah kita demi
menyelamatkan nyawa sesama manusia. Agama Islam mengharuskan pendermaan organ
sebagaimana yang telah diputuskan dalam majlis Muzakarah Fatwa kebangsaan pada
tahun 1970. Ketahuilah pendermaan organ merupakan satu pekerjaan mulia
dan amalan yang mendapat pahala yang berterusan hingga ke alam akhirat. Firman
Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 32:
Maksudnya:“ Dan
sesiapa yang menjaga kehidupan manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga
kehidupan manusia semuanya.”
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Umat Islam mempunyai peluang yang
amat luas untuk melipatgandakan pahala khususnya bagi mereka yang dikurniakan
harta dan wang ringgit yang banyak. Kerana itu, beruntunglah orang-orang yang
diberi oleh Allah SWT. kelebihan suka menolong orang lain dan membantu di dalam
kerja-kerja kebajikan. Sabda Rasulullah SAW :
Bermaksud: “
Sebaik-baik manusia yang memberi manfaat kepada orang lain”.
(Riwayat al-Qudhai)
Berdasarkan hadith tersebut, maka
beruntunglah kita atau bagi sesiapa yang menjadi orang yang banyak memberi
manfaat kepada sesama manusia, suka memberi bantuan dalam kerja-kerja kebajikan
atau berusaha mengurangkan penderitaan terhadap musibah yang ditanggung oleh
seseorang. Oleh itu, yang jelas bagi kita semua, bahawa seruan amalan
suka menolong dan membantu orang lain adalah termasuk didalam amal ibadah,
bahkan pahalanya lebih besar daripada beriktikaf di dalam masjid.
Ibnu Qayyim Rahimahu Allah
menyatakan bahawa sesiapa yang berbuat baik dengan orang lain. Allah akan
berbuat baik kepada dirinya, dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada
orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya, dan sesiapa yang memberi
manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya, dan
sesiapa yang menutup keaiban orang lain, maka Allah akan menutup keaibannya,
dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, maka Allah akan menegah kebaikan
kepadanya dan sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu
Allah akan bermuamalah denganya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat.
Oleh yang demikian banyakkan membantu atau menolong orang yang memerlukan
bantuan kerana Allah.
Justeru itu, mimbar Jumaat
menyeru para jamaah dan seluruh umat Islam agar sama-sama menyemarakan amalan
tanggungjawab sosial terutama demi menyelamatkan maruah dan nyawa sesama
kita. Kerana sesungguhnya tersirat seribu rahsia dan hikmah disebalik semangat
tersebut. Semoga hubungan yang baik dan semangat tolong menolong dapat
mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah sesama Islam.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini,
beberapa pengajaran dapat disimpulkan diantaranya, Pertama: Bahawa manusia
tidak boleh hidup bersendirian. Oleh sebab itu, manusia tidak dapat lari dari
hidup bermasyarakat yang saling perlu memerlukan dan saling bergantung antara
satu sama lain. Kedua: Masyarakat yang hidup saling tolong menolong dan hidup
dalam suasana ukhuwwah, akan hidup dalam keadaan aman dan sejahtera, makmur dan
bahagia. Ketiga: Tuntutan menunaikan tanggungjawab sesama umat Islam atau
melaksanakan hak mereka merupakan salah satu dari cabang iman. Sesiapa yang
melaksanakan tuntutan ini akan mendapat ganjaran pahala serta dikasihi Allah
SWT dan Rasul. Keempat: Semangat bantu membantu dan hidup berkasih sayang serta
bertolak ansur dapat membentuk perpaduan yang jitu. Disamping ia dapat
menghindarkan dari anasir-anasir yang tidak sihat, perbuatan khianat, fitnah
dan sebagainya yang boleh mengancam kehidupan mesyarakat. Marilah sama-sama kita
merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Fusilat ayat 34:
Maksudnya:“ Dan
tidaklah sama perbuatan yang baik dan yang jahat. Tolaklah kejahatan dengan
cara yang baik; apabila tiba-tiba orang yang di antara kamu dan antara dia ada
permusuhan, seolah-olah dia seorang sahabat karib”.