Pages

Thursday, 5 December 2013

Laporan Akhbar Tempatan


Rujukan : http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130911/re_01/Terapkan-etika-perniagaan
RENCANA

ARKIB : 11/09/2013

Terapkan etika perniagaan

 

SETIAP hari, kita boleh lihat situasi orang yang tidak beretika. Paling tidak pun ketika memandu kenderaan. Semasa kesesakan lalu lintas, terdapat pemandu tanpa segan silu, memotong kenderaan lain melalui lorong kecemasan. Pemanduan tidak beretika yang hanya mementingkan diri sendiri amat berbahaya untuk pengguna kenderaan lain. 
 
“Kerakusan" pemandu-pemandu Malaysia dengan memandu secara berbahaya “diiktiraf" oleh warga asing yang menetap di sini. Berbeza dengan negara-negara maju seperti England, Australia dan New Zealand, pengguna kenderaan cukup berhemah dan beretika di jalan raya. Mereka mematuhi undang-undang tanpa ragu-ragu. Paling penting mereka tidak mementingkan diri sendiri.
Selain bukti di atas, contoh terbaru yang paling mengejutkan dunia seni tanah air ialah sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab memuat naik filem KL Gengster 2 di laman sosial, YouTube walhal belum lagi ditayangkan di pawagam. Mengikut perancangan, filem ini akan ditayangkan di pawagam tempatan bermula 3 Oktober ini.

Saya tidak dapat bayangkan betapa kecewanya penerbit dan pembuat filem tersebut yang bertungkus lumus selama dua tahun untuk menyiapkan filem itu tetapi akhirnya telah dimuat naik dalam YouTube sebelum sampai masanya.

Sikap tidak beretika juga berlaku ke atas penulis-penulis tempatan apabila terdapat pihak dengan mudah mencedok hasil penulisan orang lain tanpa memberi sebarang penghargaan kepada penulis asal. Mereka ini tidak langsung mempedulikan etika penulisan. Apa sudah jadi dengan masyarakat kita?

Sebagai seorang pendidik di menara gading dalam pengkhususan pengauditan, elemen etika adalah antara yang diajar kepada para pelajar. Kebetulan pula, para pelajar Universiti Utara Malaysia sentiasa diasuh supaya sentiasa beretika. Umpamanya, etika berpakaian para pelajar supaya sentiasa kemas dan sopan.

Ini bermaksud penerapan budaya etika cukup penting untuk mengubah masyarakat kita agar lebih baik. Dengan kombinasi penguatkuasaan undang-undang dan menerapkan budaya beretika, kehidupan masyarakat kita akan lebih baik.

Sebagai contoh, dalam bidang pengauditan, Lembaga Pengawasan Pengauditan (AOB) berperanan besar untuk memastikan juruaudit-juruaudit luar bertingkah laku mengikut etika pengauditan.

Sebarang pelanggaran etika akan dikenakan tindakan. Ini kerana juruaudit luar bertanggungjawab ke atas pelaporan pengauditan syarikat.

Etika bukan sahaja dalam profesion pengauditan semata-mata tetapi dalam semua aspek kehidupan kita. Sebagai contoh dalam isu kenaikan harga makanan ekoran pengumuman kerajaan ke atas rasionalisasi subsidi minyak, tidak keterlaluan dikatakan terdapat peniaga-peniaga di Malaysia yang tidak beretika dalam menjalankan perniagaan. Minyak naik 20 sen, sekeping roti canai juga naik 20 sen! Alasan minyak naik!

Saya tidak dapat bayangkan betapa tamaknya peniaga-peniaga sebegini. Budak kecil pun tahu berfikir secara logik untuk menolak alasan tersebut. Jika peniaga-peniaga sebegini beragama Islam, adakah mereka tidak memahami konsep keberkatan? Menindas pembeli dan pengguna dengan cara sebegini? Malangnya perkara ini tetap berlaku setiap kali pengumuman rasionalisasi subsidi minyak.

Jadi apa yang perlu dibuat untuk mengubah sikap peniaga sebegini? Setakat memberi amaran tiada gunanya kerana ia tidak menggerunkan mereka. Bahkan, penguat kuasa seolah-olah dipermainkan apabila terdapat peniaga dengan beraninya menaikkan harga makanan dan minuman sesuka hati mereka. Apakah langkah jangka masa panjang untuk memastikan perkara ini tidak berulang?

Salah satu cara yang boleh dilaksanakan adalah dengan memupuk budaya etika di kalangan peniaga. Bagaimana modus operandinya? Dengan cara memperkenalkan modul etika perniagaan di kalangan peniaga.

Perkara ini sewajarnya dipertimbangkan oleh pihak kerajaan kerana hanya dengan mendidik elemen etika kepada mereka di samping bertegas dalam menguatkuasakan undang-undang, insya-Allah, tingkah laku para peniaga yang tidak beretika boleh diubah menjadi lebih beretika.

Jika boleh, wujudkan kod etika peniaga dan usahawan agar mereka sentiasa menyedari kepentingan beretika. Sejak akhir-akhir ini pun, syarikat senaraian awam Malaysia amat mementingkan etika.

Malahan, tadbir urus korporat yang diuar-uarkan cukup baik untuk syarikat senaraian awam juga telah mula dipertikaikan kerana tiadanya elemen etika dalam memastikan budaya sihat, adil dan tidak menindas mana-mana pihak.

Tadbir urus korporat hanya sekadar menanda kotak (box-ticking) berdasarkan kod tadbir urus korporat. Ia tidak menggambarkan elemen terpenting dalam berniaga iaitu amanah dan jujur.
Kepentingan etika ini bukan setakat di kalangan usahawan dan tokoh korporat bagi syarikat senaraian awam sahaja tetapi juga buat seluruh peniaga di Malaysia. Jika boleh, diinstitusikan budaya etika di kalangan peniaga.

 Walaupun nampak mudah di atas kertas dan sukar untuk dilaksanakan, namun jika ia dilaksanakan secara menyeluruh, nescaya akan berlaku perubahan sikap di kalangan peniaga. Tidak mustahil, dalam tempoh jangka masa panjang, peniaga-peniaga kita akan lebih memikirkan hak pengguna berbanding mengaut keuntungan untuk diri sendiri sahaja.

Budaya tidak baik seperti menindas pengguna dan pembeli perlu diubah secara berhemah. Ini kerana ia sudah sebati dalam dunia perniagaan.

Kalau tidak, mana mungkin berlakunya pelbagai penyelewengan dan gejala rasuah. Ketamakan manusia mengatasi sikap kebertanggungjawaban ke atas masyarakat. Dengan bertingkah laku secara beretika, masyarakat kita akan hidup dengan lebih baik kerana masing-masing mengetahui hak orang lain. Ingatlah, keberkatan dalam berniaga mengatasi kepentingan mengejar kekayaan materialistik.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan,
Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.

ooooooooooOOOoooooooooo

Rujukan : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0301&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm

ARKIB : 01/03/2011

Abu Kassim individu keempat paling berpengaruh dunia etika perniagaan

 

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed disenaraikan sebagai individu keempat daripada 100 orang paling berpengaruh dalam dunia etika perniagaan sepanjang tahun lalu.
Portal berita Ethisphere yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat (AS) pada 31 Januari lalu, menyenaraikan 100 individu paling berpengaruh di seluruh dunia berdasarkan penilaian lapan kategori.

Abu Kassim diletakkan sebagai individu keempat paling berpengaruh bagi kategori kerajaan dan amalan peraturan kerana usaha beliau memerangi rasuah bersama negara jiran di Asia Tenggara.

Tujuh lagi kategori ialah kepimpinan pemikir; kepimpinan perniagaan; budaya korporat; pelaburan dan penyelidikan; reka bentuk dan kemampanan; media dan pemberi maklumat; NGO; dan sifat dermawan.

Dalam senarai yang dikeluarkan Ethisphere untuk tahun 2010, dua ahli Parlimen di United Kingdom (UK), Lord Willy Bach dari UK House of Lords dan bekas Setiausaha Kementerian Luar, Jack Straw, berkongsi tempat pertama atas usaha mereka memperkenalkan Akta Pencegahan Rasuah di negara itu.

Tempat ketiga penyenaraian itu menjadi milik Pengerusi Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan AS, Jon Leibowitz bagi kategori kerajaan dan amalan peraturan.

Menurut laporan portal itu, walaupun ramai daripada yang tersenarai itu wajar diberikan anugerah pencapaian sepanjang hayat, senarai 2010 mengiktiraf mereka yang telah memberikan impak penting khususnya sepanjang tahun tersebut.

"Sesetengahnya orang terkenal di dunia dan ada yang tidak dikenali, tetapi daripada segi reka cipta pakej mapan untuk mendapatkan semula berbilion-bilion dollar daripada penipuan, 100 individu berikut telah memberikan impak dalam dunia etika perniagaan dalam cara yang akan terus memberikan kesan untuk tahun-tahun akan datang," menurut laporan Ethisphere.

Bilionair dan juga dermawan AS, Bill Gates pula hanya sekadar berada pada kedudukan ke-16 manakala pewaris takhta Britain, Putera Charles yang baru-baru ini mengeluarkan dokumentari Harmony: A New Way of Looking at our World menduduki tempat ke-92 bagi kategori kepimpinan alam sekitar.

                                                      ooooooooooOOOoooooooooo

Artikel Penuh: 
http://utusan.com.my/utusan/info.aspy=2010&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz2pVbUFb00

RENCANA

ARKIB : 22/12/2010

Usaha bersepadu perlu tangani denggi

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

STATISTIK terkini menunjukkan sebanyak 133 kematian dicatatkan di seluruh negara akibat demam denggi sejak 1 Januari 2010. Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya 84 kes kematian yang dilaporkan untuk tempoh sama tahun lalu. Jumlah kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara juga meningkat iaitu sebanyak 45,106 kes berbanding 39,711 kes dalam tempoh yang sama pada 2009.

Senario ini menunjukkan betapa bahayanya demam denggi dan perlu ditangani dengan segera agar tidak terus meragut nyawa. Usaha bersepadu perlu dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat agar segera membanteras penularan wabak berbahaya ini. Memandangkan angka kematian terus meningkat, adalah diharapkan 2011 yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi diisytihar sebagai tahun banteras denggi habis-habisan. Atau tahun anti-aedes oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sejak penyakit demam denggi mula dikesan, ia menunjukkan peningkatan yang seiring dengan pertambahan kawasan bandar, pembangunan dan peningkatan kepadatan penduduk.

Antara tanda-tanda penyakit ini ialah demam kuat yang mengejut dan berterusan, bintik-bintik merah pada kulit, berdarah pada badan, hidung dan mulut, hilang selera makan, muntah-muntah dan sakit perut. Sehingga kini masih belum terdapat vaksin siap untuk demam denggi flavivirus dan kita lebih disyorkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih proaktif.

Cara mencegah denggi yang utama adalah menghapuskan atau mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi. Langkah menghapuskan takungan air seperti dalam bekas bunga terbukti berkesan bagi mengawal penyakit bawaan nyamuk. Pengunaan ubat jentik-jentik juga berkesan untuk menghapuskan jentik-jentik, manakala penggunaan kelambu dan juga semburan (fogging) juga boleh membantu. Nyamuk aedes senang dikenali dengan belang hitam putih pada badan dan kakinya dan kebiasaannya menggigit pada awal pagi dan waktu senja.

Nyamuk ini juga membiak dalam air jernih yang bertakung sama ada di dalam atau di luar rumah. Antara tempat pembiakan di dalam rumah ialah dalam akuarium, pasu bunga, timba, tempayan serta kolam (kolah) mandi.

Di luar rumah pula nyamuk ini membiak dalam tayar buruk, tempurung kelapa, botol atau gelas pecah yang mengandungi air, longkang yang tersekat serta salur air hujan. Peningkatan kes demam denggi dan jumlah kematian di negara kita mutakhir ini boleh dirumuskan berpunca daripada kurangnya tahap kesedaran, kelalaian sendiri serta sikap tidak peduli dalam kalangan masyarakat.

Kita masih dengan budaya tidak mempedulikan sesuatu perkara sehingga ia kena pada kita atau kaum keluarga. Budaya tidak peduli, lepas tangan dan tidak mengapa ini jelas mula menular menjadi wabak yang serius sama serius dengan penularan wabak denggi dalam masyarakat kita. Budaya ini jika tidak dibendung dengan segera, dikhuatiri akan terus meragut lebih banyak lagi nyawa.

Justeru, kita perlu mengubah pemikiran dan gaya hidup supaya menjadi masyarakat yang lebih prihatin dan responsif dengan apa yang berlaku dalam persekitaran. Tidak salah dalam hal begini kita mengambil tahu 'tepi kain orang lain' asalkan ia untuk kesejahteraan dan keselamatan bersama. Masyarakat perlu sedar bahawa isu demam denggi ini amat serius serta bahaya dan ia perlu ditangani dengan segera.

Dalam hal ini kita wajar memuji langkah-langkah pencegahan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak KKM dan beberapa agensi lain yang berkaitan sebagai usaha berterusan menyedarkan masyarakat serta membendung penularan virus ini mahupun pembiakan aedes. KKM misalnya mengadakan pelbagai program kesedaran seperti 10 minit dalam seminggu, Jom Ganyang Aedes dan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang lain termasuk pihak berkuasa tempatan serta masyarakat setempat.

Tetapi jika masih tiada kesedaran dan sokongan menyeluruh daripada masyarakat, ia tidak akan berjaya. Senario ini jelas menunjukkan tahap keseriusan pihak kerajaan dalam membendung wabak denggi. Namun statistik yang terus meningkat membuktikan bahawa keberkesanan pelbagai program yang dianjurkan selama ini masih belum menampakkan hasil yang diharapkan. Ia kerana sikap masyarakat sendiri yang tidak memandang serius penularan demam denggi.

Malah Kempen Media Pencegahan Denggi oleh KKM sebagai usaha untuk menyebarkan mesej dan maklumat tentang bahaya demam denggi juga dilihat masih belum cukup untuk menyedarkan masyarakat.

Pembanterasan nyamuk aedes memerlukan perubahan sikap yang menyeluruh dalam kalangan masyarakat. Setiap individu perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan yang aktif demi menyelamatkan nyawa sendiri, keluarga mahupun masyarakat setempat.

Tindakan seperti membuang sampah terutamanya ke dalam longkang yang akhirnya menyebabkan aliran longkang tersekat dengan timbunan sampah dan rumput perlu dielakkan. Di samping itu, sebarang jenis takungan air baik di dalam mahupun di sekitar kawasan luar rumah juga perlu dielakkan. Kita juga perlu berubah dari sikap pengotor kepada pembersih. Hanya kebersihan secara hakiki mampu membendung pembiakan nyamuk aedes ini dari terus bermaharajalela.

Di samping bergantung kepada tindakan pencegahan daripada KKM dan agensi berkaitan, masyarakat juga perlu bertindak sendiri secara proaktif. Misalnya mengenalpasti lokaliti-lokaliti yang berpotensi sebagai hot spots dan segera melakukan aktiviti pembersihan dan gotong-royong secara bersepadu. Dalam masa yang sama kita juga berharap tindakan penguatkuasaan dan pemantauan serta hukuman diperhebatkan oleh semua agensi yang terbabit.

Pemilik premis baik rumah kediaman mahupun perniagaan yang didapati membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes perlu dikompaun serta merta tanpa pilih kasih. Dalam hal ini kompaun maksimum RM500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang sedia ada dilihat masih rendah dan belum cukup menggerunkan pemilik premis. . Adalah disyorkan agar nilai kompaun ini dikaji semula dan dinaikkan ke satu nilai yang lebih besar serta ditambah dengan hukuman penjara yang setimpal.

Disyorkan juga supaya Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Mengawal Denggi (2009-2013) yang dilancarkan pada April 2009 disemak semula dan dimantapkan mengikut keadaan semasa agar memberikan impak yang maksimum. Kesimpulannya, walau apa pun tindakan mahupun program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, ia tidak akan berhasil tanpa kerjasama setiap individu dalam masyarakat kita.

Justeru, masyarakat perlu berganding bahu dengan berusaha secara bersepadu dan bertindak dengan segera untuk membendung penularan wabak ini. Marilah kita berazam dan bertekad untuk membanteras habis-habisan nyamuk aedes pada 2011 ini dan isytihar tahun berkenaan sebagai tahun anti-aedes.

PENULIS ialah Penolong Pendaftar Kanan,
Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia

 Rujukan : http://www.bharian.com.my/articles/Rasuahancammasyarakatperluditanganibersama/Article

Rasuah ancam masyarakat perlu ditangani bersama



 
SPRM perlu bertindak tanpa mengira pangkat untuk tingkat imej pada mata awam

RASUAH adalah antara masalah etika tertua dalam sejarah manusia, yang membayangkan kepincangan integriti masyarakat dan dalam gambaran yang lebih luas sebuah masyarakat dengan nilai murninya tercemar.

Rakyat Malaysia terutamanya bimbang dengan kedudukan negara dalam indeks persepsi rasuah walaupun usaha tanpa kenal penat lelah diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan pimpinannya untuk membanteras gejala itu.

Saya cadangkan supaya kerajaan meningkatkan peruntukan SPRM supaya ia boleh melantik lebih ramai pegawai dan meningkatkan kemudahan untuk memerangi rasuah di Malaysia. - Moehamad Izat, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia

Pada 2011, Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International merosot ke tangga ke-60 daripada kalangan 183 negara berbanding tangga ke-56 daripada kalangan 178 negara pada 2010.

Sehingga ini sektor awam lazim dipersalahkan kerana amalan rasuah tetapi satu siri kes rasuah yang disiarkan oleh media baru-baru ini menunjukkan dunia perniagaan juga tidak terkecuali daripada rasuah.

Yang terbaru, satu audit ke atas Iskandar Investment Berhad menunjukkan banyak amalan rasuah di kalangan kakitangan perbadanan itu yang ditubuh untuk membangunkan wilayah pembangunan ekonomi selatan, Iskandar Malaysia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Malaysia bagi Ketelusan dan Integriti, Josie M Fernandez menunjukkan bahawa rasuah dalam dunia korporat membawa implikasi buruk terhadap negara.
Rasuah perniagaan boleh berlaku dalam dua keadaan, khasnya membabitkan individu dalam syarikat atau syarikat itu sendiri.

Fernandez berkata amalan seperti ini membawa kepada peningkatan dalam kos menjalankan perniagaan di negara dan dengan itu pelabur tidak akan menunjukkan minat dalam menjalankan perniagaan di sini. "Syarikat-syarikat tidak akan melabur jika mereka tidak melihat margin keuntungan yang baik dalam mana-mana urusan perniagaan, jadi apabila ditambah dengan kos rasuah margin keuntungan merosot lagi.

"Lagipun, pelabur besar mencari negara dengan etika perniagaan baik yang akan membolehkan perniagaan mereka terus berkembang. Jadi rasuah perniagaan boleh menjejaskan ekonomi negara kita," katanya.

Fernandez juga gembira dengan tindakan kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif menerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) seperti memperkenalkan aku janji integriti korporat untuk memerangi rasuah perniagaan.

Kebiasaannya, tiada sektor perniagaan yang terkecuali daripada gejala ini dengan implikasinya meluas.

Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia, Datuk Moehamad Izat Emir mengulas mengenai implikasi daripada amalan rasuah dalam dunia perniagaan.

"Amalan rasuah dalam perniagaan boleh mengekang pembangunan usahawan yang berdaya maju di negara ini. Sebagai contoh, jika usahawan yang sama mendapat tender setiap kali daripada syarikat melalui amalan rasuah, mereka yang lain pula tiada peluang untuk menunjukkan tawaran mereka yang mungkin lebih baik.

"Yang lebih buruk lagi apabila pembida mendapatkan projek dengan memberikan rasuah tetapi sebenarnya tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan kerja," kata beliau.

Moehamad Izat juga memuji langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melanjutkan usaha memerangi rasuah ke dunia perniagaan.

Usaha berterusan SPRM untuk bertindak terhadap sesiapa saja yang mengamalkan rasuah tidak kira pangkat dan kedudukan juga akan membantu meningkatkan persepsi awam terhadap pertubuhan itu.

"Saya cadangkan supaya kerajaan meningkatkan peruntukan SPRM supaya ia boleh melantik lebih ramai pegawai dan meningkatkan kemudahan untuk memerangi rasuah di Malaysia.

"Tetapi kita tidak boleh bergantung kepada SPRM saja dalam memerangi rasuah, tanggapan umum juga perlu diubah. Kita mesti melihat rasuah sebagai sesuatu yang benar-benar mengancam masyarakat kita, bukan satu lagi 'salam' dalam memeterai satu-satu transaksi," katanya.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Datuk Mohd Khalid Harun juga menunjukkan amalan rasuah perniagaan boleh berlaku dalam mana-mana sektor perniagaan.

"Sektor perniagaan juga tidak terkecuali," kata beliau sambil menambah kata apabila berlaku amalan rasuah tidak akan ada ketelusan dalam transaksi perniagaan dan ini akan menjejaskan perancangan, pengurusan dan yang lain dalam industri.

"Bagi penggiat pelancongan yang mempunyai kepakaran, kemampuan dan komitmen, rasuah boleh menghalang mereka daripada menikmati peluang yang ada. Saya juga khuatir yang produk pelancongan di negara ini juga akan terus terjejas," kata beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata; "Apabila mereka tanpa pengetahuan atau pengalaman mendapat permit ataupun apa-apa projek pengangkutan, kualiti perkhidmatan akan terjejas.

"Kita perlu ingat bahawa pengangkutan adalah kemudahan penting di negara ini. Orang ramai akan mengeluh jika tiada kualiti dalam khidmat pengangkutan," katanya.

Sementara Malaysia masih belum menyaksikan lagi kemunculan pejuang antirasuah ikonik seperti Anna Hazare di India, mereka masih boleh menaruh harapan kepada kerajaan untuk mengatasi gejala ini. Bagaimanapun, usaha murni ini bergantung kepada sumbangan setiap rakyat dalam menjayakannya. - BERNAMA

                                                       ooooooooooOOOoooooooooo

 Rujukan : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/FahamietikaperniagaandalamIslam/Article

AGAMA

Fahami etika perniagaan dalam Islam

 

Oleh Nor Hartini Saari 

Hak peniaga, pelanggan dilindungi berdasarkan sikap amanah, jujur

DALAM sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Ceburilah kegiatan perniagaan kerana di dalamnya terdapat sembilan persepuluh sumber rezeki.” (Al-Tirmizi). Dengan mengambil pengajaran daripada hadis itu, setiap peniaga Muslim perlu memahami bahawa pembabitan mereka dalam urusan perniagaan adalah satu ibadat dan sangat dituntut dalam Islam.
Namun begitu, setiap peniaga Muslim wajar mengetahui dan memahami etika perniagaan Islam secara mendalam sebelum berkecimpung dalam bidang perniagaan terutama dalam mengendalikan urusan jual-beli bersama pelanggan.

 Tujuan etika perniagaan Islam ini adalah untuk memastikan setiap peniaga yang menceburi dalam bidang perniagaan dapat mengelakkan diri daripada segala sifat keji (mazmumah) dan menghiasinya dengan sifat terpuji (mahmudah).

         Keadaan ini penting bagi menjamin kepentingan ummah dapat terpelihara daripada segala unsur yang boleh mencetuskan perbalahan, ketidakadilan, pertikaian, penindasan dan rasa ketidakpuasan hati dapat dihalang. Di samping itu, mereka dapat melindungi hak kedua-dua pihak iaitu antara peniaga sebagai penjual dan pengguna sebagai pelanggan barangan terbabit.

        Hak kedua-dua pihak ini perlu dijaga bagi memastikan setiap perniagaan yang dijalankan berlangsung dengan baik dan dapat menjauhi semua unsur penipuan. Dalam al-Quran berulang kali mengingatkan peniaga supaya bersikap jujur dan melarang keras melakukan penipuan serta penyelewengan dalam perniagaan. Peringatan yang berulang kali ini menggambarkan bahawa penipuan dalam bentuk dan kadar yang pelbagai adalah sesuatu yang sering terjadi dalam dunia perniagaan.

Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud: “Dan cukupkanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil.” (Al-An‘am, 6:152) selain “Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan.” (Surah Hud, ayat, 84).

Kedua-dua ayat ini menjelaskan bahawa penipuan daripada segala segi adalah haram dalam etika perniagaan Islam. Dengan penipuan akan rosaklah hubungan antara pembeli dan penjual, malah boleh mencetuskan perbalahan dan pergaduhan yang berpanjangan. Oleh itu, sifat jujur peniaga dapat menghindari kesan negatif terhadap perhubungan antara peniaga dan pelanggan mereka.

Begitu juga sebagai peniaga Muslim dianjurkan supaya menitikberatkan kualiti kerja atau hasil atas barangan yang diniagakan. Islam menegah peniaga mengeksploitasi pelanggan dengan menjual barangan yang berkualiti rendah pada harga yang tinggi semata-mata kerana tidak ada orang lain yang menawarkan barangan yang serupa.

 Kualiti produk yang rendah tidak dapat menjamin pembelian pada masa depan dan tidak dapat menjamin kesetiaan pelanggan kepada barangan berkenaan. Implikasinya akan membawa kepada kegagalan perniagaan. Barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan bukan saja dapat meningkatkan jualan tetapi juga dapat menjaga reputasi perniagaan.

Selain itu, sebagai peniaga Muslim, mereka perlu amanah. Islam melarang keras peniaga yang tidak amanah. Peniaga tidak boleh membohongi dan mengkhianati pelanggan, menjual barangan dengan harga terlalu tinggi dan melengahkan pembayaran kepada pengedar atau pembekal barangan ke kedainya.

Misalnya, dalam perniagaan menerusi internet walaupun peniaga tidak bersemuka dengan pelanggan, namun mereka perlu menjaga amanah dalam memastikan barangan yang ditempah itu sama kualitinya dengan barang yang dipesan.

Penekanan supaya amanah ini disebut dalam ayat al-Quran yang mana Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.” (Surah an-Nisa ayat 58).

Peniaga yang beretika juga perlu melaksanakan al-‘Adl atau keadilan. Ini bermaksud peniaga harus bersikap sederhana dalam semua perkara tanpa menguntungkan sebelah pihak, layanan sama rata atau saksama terhadap semua pelanggan, memberi pertimbangan yang adil dan tidak berat sebelah serta memberikan hak kepada orang yang berhak.

Dalam erti kata lain, keadilan bererti meletakkan sesuatu di tempatnya yang betul. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan.” (Surah an-Nahl, ayat 90).

 Oleh itu, keadilan dalam perniagaan akan memastikan urusan perniagaan itu adil dan setiap orang sama ada pembeli atau penjual akan mendapat haknya.

Begitu juga dalam setiap perniagaan, sebagai peniaga Muslim hendaklah sentiasa mengutamakan hubungan komunikasi antara pelanggan. Ucap kata-kata manis, saling hormat-menghormati, lemah-lembut dan cubalah mempertimbangkan kepentingan semua pihak.

Selain itu, peniaga hendaklah sentiasa berlapang dada dan berusaha untuk memenuhi keperluan pengguna. Kepuasan pelanggan adalah keutamaan mereka.

Ketepatan masa juga salah satu nilai dan etika yang ditekankan dalam perniagaan Islam. Penggunaan masa secara baik dan berkesan akan dapat membantu peniaga dan pengusaha menyempurnakan kerja dengan cepat, tepat dan menepati masa yang ditetapkan.

Menerusi perbincangan di atas, jelaslah dengan kewujudan peniaga beretika berlandaskan ajaran al-Quran, sudah tentu dapat membentuk peribadi mulia dan seterusnya mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.


 Rujukan : http://www.sinarharian.com.my/nasional/iim-mahu-gembleng-sokongan-glc-terhadap-inisiatif-cism-1.76554

IIM mahu gembleng sokongan GLC terhadap inisiatif CISM

 

KUALA LUMPUR - Institut Integriti Malaysia (IIM) akan mendapatkan sokongan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di seluruh negara bagi menyokong inisiatif Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) di dalam usaha menggalakkan tadbir urus korporat institusi ekonomi di negara ini.

Program itu, yang turut berusaha mendapatkan sokongan GLC negeri yang bermula Jun akan diadakan sehingga akhir tahun ini.

"Saya berkeyakinan dengan sokongan yang diberi oleh semua pihak berkepentingan, kita akan mencapai objektif program ini di dalam menggalakkan pengurusan perniagaan melalui integriti yang tinggi."

"Program itu menggariskan keperluan mengukuhkan sistem pengurusan dalaman yang menyokong pematuhan pencegahan rasuah menggunakan undang-undang, dasar dan prosedur."

 "Melalui usaha ini, syarikat menggalakkan nilai integriti, ketelusan dan tadbir urus baik di dalam pengurusan harian masing-masing," kata Presiden IIM Datuk Dr Mohd Tap Salleh dalam satu kenyataan.

 IIM berkata program itu dilaksanakan dengan kerjasama Institut Integriti pada peringkat negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), SME Corp, Chartered Institute of Management Accountant (CIMA) dan Jabatan Audit Negara.

 Program itu bermatlamat memperkenalkan inisiatif CISM bagi meningkatkan pemahaman pengurusan mengenai tadbir urus dan etika perniagaan di dalam pertubuhan yang dikendalikan GLC.

Ia menjurus pada isu-isu yang tepat yang berkaitan peningkatan tadbir urus korporat yang termasuk semakan keseluruhan inisiatif SPRM, inisiatif Laporan Audit Negara, Amalan Perniagaan Terbaik, pembinaan perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mampan dengan Integriti dan Integriti Profesional dan Kebertanggungjawapan.

Sehingga ini, program itu telah diadakan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 21 Jun dan di Ipoh, Perak, pada 17 Julai.

 Ia akan diadakan di Alor Setar, Kedah pada 14 Ogos serta masing-masing di Kota Bharu, Kelantan dan Kuantan, Pahang pada Oktober.

Program di Alor Setar akan termasuk perbincangan dan pembentangan oleh pihak berkepentingan di dalam CISM, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Sutinah Sutan, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim, Pengarah Sektor Audit Kerajaan Negeri Che Isa Che Kob dan Pengarah Wilayah Asean dan Australasia CIMA Irene Teng.

 IIM berkata usaha memerangi amalan perniagaan tidak beretika di dalam persekitaran perniagaan perlu bagi meningkatkan keupayaan Malaysia untuk menarik pelabur.

Ia merupakan elemen Program Transformasi Ekonomi negara ini, kata institut itu.

 Di dalam usaha menggalakkan integriti korporat, IIM dengan kerjasama Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), yang akan diadakan mengikut sesi meja bulat bersempena dengan ulang tahun pertama inisiatif Ikrar Integriti Korporat (CIP) pada 29 Mac, 2012, yang merupakan faktor penting bagi menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara melalui peningkatan keyakinan pelabur di Malaysia.

Sehingga hari ini, 130 syarikat telah menandatangani CIP sejak ia dilancarkan pada 31 Mac, kata IIM.

IIM adalah badan penyelaras bagi pelaksanaan Pelan Integriti Negara dengan objektif utama membangunkan integriti tinggi negara yang berdaya tahan dan memegang nilai yang baik. - Bernama




No comments:

Post a Comment

 
Blogger Templates