Pada masa kini, isu tanggungjawab sosial dan etika
sering menjadi bahan bualan masyarakat. Tanggungjawab sosial sesebuah
organisasi yang berorientasikan perniagaan dan keuntungan (for-profit business
organization) menjadi sasaran utama pihak media massa dan masyarakat. Perkara
ini berlaku kerana organisasi perniagaan ini mengawal sebahagian besar sumber bahan
mentah yang ada untuk mengeluarkan produk dan perkhidmatan untuk masyarakat di
persekitaran organisasi tersebut. Sama ada organisasi ini bertanggungjawab atau
tidak bertanggungjawab kepada masyarakatnya, mereka tetap menjadi perhatian.
Adakalanya kita mempersoalkan sama ada organisasi ini telah melaksanakan
tanggungjawab mereka kepada masyarakat. Kadang-kala kita bertanya sejauhmana
peranan/ sumbangan mereka dan bagaimana mereka memperbaiki kualiti perkhidmatan
organisasi ini kepada masyarakat. Sekiranya kita merasakan bahawa sesebuah
organisasi itu tidak bertanggungjawab kepada masyarakat, kita ingin mengetahui
sebab dan langkah yang akan diambil bagi memperbaiki keadaan tersebut.
Walau bagaimanapun, kita tidak selalunya menilai perkara yang negatif sahaja, tanggungjawab organisasi juga sering dilihat dari sudut positif. Contohnya sebuah kilang kain di Malden, US, milik Aaron Feuerstein. Semasa berlaku kebakaran, kilangnya telah musnah akibat kebakaran tersebut. Walau bagaimanapun, menyedari tanggungjawab sosialnya kepada pekerja-pekerja beliau, Aaron telah membayar gaji kepada semua pekerjanya sehinggalah kilang tersebut siap dibina semula. Perbuatan ini menjadikan Aaron seorang yang terkenal dengan seorang pengurus yang beretika dan bertanggungjawab kepada masyarakatnya.
Sebaliknya, terdapat sesetengah pendapat yang menentang bahawa organisasi mempunyai tanggungjawab sosial terhadap masyarakatnya. Mereka mengatakan bahawa organisasi sememangnya mempunyai tanggunjawab sosial tetapi bukan kepada masyarakat atau individu di dalam organisasi itu sendiri, sebaliknya tanggungjawab sosial tersebut adalah terhadap pemegang-pemegang saham syarikat. Kenapa? Hal ini terjadi disebabkan oleh kepentingan ekonomi yang menjadi keutamaan. Organisasi perlu menjaga kepentingan sosial pemegang-pemegang saham ini kerana mereka yang menentukan untung-rugi sesebuah organisasi tersebut. Justeru, organisasi ini mempunyai tanggungjawab sosial kepada pemegang saham mereka dan bukannya kepada masyarakat atau individu dalam organisasi itu sendiri.
Terdapat dua kesan yang berbeza kepada tanggungjawab sosial sesebuah organisasi apabila ia melibatkan jangka masa pendek atau panjang. Kunci utama untuk melihat perbezaan ini ialah dari segi tanggungjawab sosial dan tindak-balas sosial. Tanggungjawab sosial merupakan kewajipan melakukan sesuatu yang baik terhadap masyarakat di persekitaran organisasi bagi mencapai matlamat jangka panjang. Kewajipan ini perlu dipenuhi kerana ia merupakan satu perbuatan yang bermoral dan beretika. Contoh yang sering digunakan ialah seperti menganjurkan program kesedaran terhadap alam sekitar. Sesebuah organisasi seperti syarikat pengeluar minuman tin atau minuman kotak, sedar akan kewajipan mereka menjaga alam sekitar, justeru adalah menjadi tanggungjawab organisasi tersebut untuk memberikan maklumat kepada masyarakat tentang perkara tersebut. Salah satu cara yang dilakukan oleh syarikat terbabit ialah dengan menggunakan lambang/logo “kitar semula” dalam setiap produk keluaran mereka.
Bagi kesan jangka pendek atau sederhana pula, matlamat organisasi lebih kepada tindak-balas sosial kepada persekitaran. Ini kerana organisasi mempunyai keperluan untuk bertindak-balas terhadap perubahan norma/kebiasaan dan permintaan masyarakat pada ketika itu. Perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat akan menjadikan organisasi lebih bertindak-balas kerana sedar bahawa ia penting kepada keperluan masyarakat. Contohnya, organisasi bertindak-balas dengan kempen membantu rakyat Afrika yang kebuluran dengan melancarkan produk baru di mana hasil jualan produk tersebut akan disalurkan kepada rakyat kebuluran di Afrika.
Bagaimana pula dengan individu yang bekerja dengan organisasi yang mengeluarkan produk atau perkhidmatan yang boleh memberi kesan buruk/negatif kepada masyarakat. Adakah mereka masih boleh menjadi seorang yang beretika dan bertanggungkawab kepada sosialnya? Contohnya individu yang bekerja dengan syarikat tembakau, pengeluar arak atau produk racun serangga. Saya lebih suka menggunakan contoh syarikat tembakau kerana ia lebih dekat dengan masyarakat. Bagi mereka yang bekerja dengan syarikat ini, masih boleh menjalankan tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat walaupun menyedari produk mereka boleh mendatangkan kemudaratan kepada pengguna.
Salah satu usaha yang boleh dilakukan ialah dengan memberi maklumat atau penerangan tentang kesan yang akan dihadapi sekiranya produk tersebut digunakan dengan jumlah yang berlebihan tanpa mengikut had yang telah ditetapkan. Adakalanya amat sukar untuk individu yang bekerja dengan organisasi seperti ini untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dan mempersoalkan siapa sebenarnya yang perlu melaksanakan tanggungjawab tersebut. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka adalah orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka boleh melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan bekerjasama dengan pengurus dan organisasi untuk memastikan maklumat tentang pilihan yang baik dan tindakan yang betul menggunakan produk tersebut sampai kepada masyarakat.
Setiap organisasi mempunyai budaya yang berbeza dan budaya ini melambangkan nilai sesebuah organisasi yang menjadi panduan untuk membuat keputusan atau mengambil tindakan. Pengurusan yang berasaskan prinsip/nilai yang baik merupakan organisasi yang mempunyai kewajipan dan bertindak-balas kepada masyarakat di persekitaran organisasinya. Nilai ini merangkumi semua komponen sosial di dalam organisasi tersebut dan mereka mempunyai tanggungjawab untuk menbuat keputusan dan mengambil tindakan yang telah dipersetujui oleh semua pemegang saham syarikat.
Seseorang pengurus sesebuah organisasi tidak membezakan standard etika antara urusan peribadi dan aktiviti pekerjaan mereka. Masyarakat melihat seseorang pengurus itu sebagai seorang yang beretika, bertanggungjawab dan bermoral tinggi. Walau bagaimanapun, sama ada kita sedar atau tidak, kadang-kala pengurus ini boleh mendorong kita untuk melakukan sesuatu yang tidak beretika disebabkan oleh proses, sistem atau ganjaran yang dijanjikan oleh organisasi. Perkara ini bergantung kepada keadaan atau situasi kerja dan organisasi yang berbeza. Namun begitu, setiap pengurus tidak mempunyai dua set standard etika yang berbeza, sebaliknya mereka dilihat sebagai seorang yang bermoral dan bertanggungjawab.
Budaya sesebuah organisasi boleh membentuk etika dan perangai pekerja mereka agar bertanggungjawab kepada masyarakat. Salah satu cara yang berkesan ialah dengan memberi dorongan dan ganjaran terhadap pekerja yang beretika dan berkelakuan baik kepada masyarakat di persekitaran organisasi. Sekiranya pekerja ini melihat kelakuan beretika ini sebagai sesuatu yang penting dan mendapat galakan, maka mereka akan menjadikannya sebagai suatu pegangan atau amalan.
Contonhnya, sebuah syarikat pengeluar barangan penjagaan diri yang terkenal, iaitu Tom’s Of Maine, budaya yang diamalkan ialah mewajibkan seseorang pekerja itu membuat penilaian dari segi etika (light of the ethical values) sebelum membuat keputusan. Pekerja-pekerja syarikat menyedari akan kepentingan mengikut budaya ini dan mereka akan diberi ganjaran yang sepatutnya jika mengikut budaya tersebut. Sebaliknya, jika mereka membuat keputusan tanpa merujuk kepada budaya ini, mereka dengan sendirinya akan menyedari kesilapan yang dilakukan dan akan mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat agar selaras dengan budaya yang dipegang oleh organisasi tersebut. Kesedaran inilah yang dibentuk oleh budaya syarikat tersebut agar pekerja mereka lebih beretika.
Walau bagaimanapun, terdapat keperluan untuk pengurus itu mengubah tingkah laku sosial mereka sekiranya mereka ingin membuat hubungan dagangan/perniagaan di negara lain. Ini kerana setiap negara mempunyai etika yang berbeza, dan sesetengah negara seperti US membenarkan amalan rasuah dan menganggapnya sebagai suatu amalan yang biasa. Perbezaan sosial, politik, dan budaya setiap negara akan mempengaruhi etika sesebuah organisasi yang beroperasi di negara tersebut. Contohnya, amalan rasuah atau pemberian ganjaran wang di kalangan kakitangan kerajaan adalah satu kesalahan besar di Mesir. Justeru, Syarikat Coca-Cola mengambil langkah dengan menaja projek penanaman pokok buah-buahan bagi membolehkan produk mereka dipasarkan di negara tersebut.
No comments:
Post a Comment