Pages

Thursday 9 January 2014

Nilai Kualiti Dalam Perspektif Islam

Kualiti biasanya diertikan sebagai kecemerlangan, keunggulan, ketinggian nilai dan mutu. Dalam konteks produk yang dipasarkan dan perkhidmatan yang ditawarkan pula, kualiti sering dilihat dari sudut keupayaan untuk dipasarkan. Hal ini bermakna bahawa sesuatu produk itu dikatakan berkualiti apabila mempunyai nilai komersial, sesuai dengan kemahuan pelanggan, kompetitif, dan tidak mempunyai sebarang cela sehingga dapat diniagakan serta mendatangkan keuntungan kepada pihak yang menghasilkannya.

Crosby berpendapat bahawa kualiti ialah penghasilan produk atau perkhidmatan tanpa kecacatan dan kerosakan (zero defect). Shingo juga merujuk kualiti sebagai penghasilan produk tanpa kecacatan. Walau bagaimanapun, selain tiada kecacatan pada produk yang dihasilkan, shingo juga menekankan pentingnya dikurangkan kesilapan secara berterusan semasa proses pengeluaran produk.

Bagi tokoh kualiti Peters menyatakan istilah kecemerlangan (excellence) digunakan sebagai menggantikan isitilah kualiti. Bagi beliau, kualiti atau kecemerlangan bermaksud memberikan tumpuan kepada pelanggan, termasuk mengambil kira keinginan, kehendak dan pandangan mereka sepanjang proses pengeluaran produk.

Definisi kualiti yang dikemukakan oleh tokoh kualiti ini sekalipun pelbagai, semuanya bertitik tolak daripada premis memenuhi kehendak dan kemahuan pelanggan. Dengan berasaskan pandangan tokoh kualiti ini, beberapa badan kualiti yang berautoriti di dunia mengemukakan definisi kualiti yang lebih khusus dan jelas.

Dalam kahian ontology Islam, penekanan terhadap sesuatu perkara yang tidak sahaja diberikan kepada aspek yang dapat diukur secara kuantitatif. Ontologi yang dimaksudkan di sini ialah cabang kepada ilmu falsafah yang mengemukakan pengkonsepsian dan pencirian mengenai sesuatu perkara. Dari perspektif Islam, perbicangan tentang sesuatu konsep dan ciri perlu mengambil kira, bahkah mengutamakan aspek kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif. Antara aspek yang dimaksudkan dan sangat relevan dengan pengurusan pengeluaran produk serta pemberian perkhidmatan termasuklah kehalalan dan nilai manfaat produk atau perkhidmatan yang dihasilkan menurut perspektif Islam.

Dalam Islam, pengukuran kebersihan dari sudut fiqah bukan sahaja mengambil kira pandangan mata kasar, tetapi juga cara pembersihannya, iaitu sudah benar-benar suci sumber perolehannya, sama ada daripada sumber yang halal ataupun haram, bahkan kedudukan produk itu sendiri, sama ada benar-benar produk yang halalan tayyiban atau sebaliknya. Tuntutan terhadap aspek kebersihan ini ditekankan dalam Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
           
            “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa-apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang nyata bagimu.”
                                                                                                (Surah al-Bawarah 2:168)

            “Hai orang-orang yang beriman, makanlah antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.”
                                                                                                (Surah al-Baqarah 2:72)

Sementara itu, pengukuran kebersihan dari sudut tasawuf pula mengambil kira kualiti kebersihan dari aspek bersih daripada sebarang unsur yang syubahat. Perkara syubahat merupakan perkara yang meragukan atau yang tidak jelas halal atau haramnya. Berkaitan dengan hal ini, terdapat hadis yang terjemahan seperti yang berikut:
           
            Daripada Abu ‘Abdullah an-Nu’man bin Bashir berkara, Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya yang halal itu telah nyata, dan yang haram juga telah nyata, dan antara kedua-duanya merupakan perkara-perkara yang meragukan, yang kebanyakan orang ramai tidak mengetahui. Orang yang memelihara diri daripada perkara-perkara yang meragukan itu, samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara-perkara yang meragukan itu akan tergelincir pula ke dalam yang haram laksana seorang penggembala di sekitar tempat larangan.”
                                                                        (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kualiti produk dan perkhidmatan menurut sudut pandangan Islam bukan sahaja menekankan aspek pemenuhan kemahuan dan kehendak pelanggan dari sudut lahiriah atau aspek pemenuhan kemahuan dan kehendak pelanggan dari sudut lahiriah atau aspek keupayaan untuk dikomersialkan dan dipasarkan.

(oleh: Fadzila Azni Ahmad, Majalah Dewan Ekonomi keluaran Disember 2013)

No comments:

Post a Comment

 
Blogger Templates